Jl. Kudus Colo Km. 5, Belakang Taman Budaya Bae Krajan, Kudus
Home » , » Kerohaniaan Dalam Islam Bag. 1

Kerohaniaan Dalam Islam Bag. 1

Kehidupan rohaniah dalam Islam bermula sejak zaman Nabi SAW dan baginda sendiri merupakan model yang pertama dan utama dalam mengamalkan rohaniah dalam kehidupan sehari-hari. Amalan baginda dicontohi dan diikuti para sahabat yang kemudiannya diteruskan pula oleh para Tabi’in dan Tabi’at Tabi’in dan berterusan sampai ke hari ini dan masa-masa yang akan datang. Perjuangan dan amalan rohaniah Baginda SAW merupakan ikutan utama bagi setiap Muslim yang ingin mencapai ketinggian rohaniah.

Rasulullah dan para sahabatnya, di samping berjuang di medan perang kerana menegakkan agama Allah, mereka juga berjuang meningkatkan rohaniah, hidup zuhud, tidak mementingkan kebendaan dunia, pangkat kebesaran dan kemasyhuran diri. Mereka sebaliknya dengan penuh prihatin dan kesedaran menumpukan sepenuh hati kepada Allah, berusaha meningkatkan mujahadah al-nafs melawan hawa nafsu dan godaan syaitan. Di samping itu tidak pula lalai daripada tanggungjawab dakwah menegakkan amar maaruf dan nahi munkar. Semua tanggungjawab ini adalah semata-mata kerana Allah demi mencapai keredhaan-Nya.

Dengan iman yang kental dan keyakinan yang padu, mereka tidak ragu-ragu memikul tanggungjawab sebagai hamba Allah, menunaikan hak-hak fizikal dan juga tuntutan-tuntutan rohaniah sehingga berjaya mencapai ketinggian rohaniah dan kehidupan yang sempurna selaras dengan ajaran-ajaran dan tuntutan Islam yang sebenar. Mereka telah memperimbangkan antara tuntutan dunia dan tuntutan akhirat, antara jasmaniah dan rohaniah. Dengan menggabung-jalinkan antara dua aspek ini barulah terbina kehidupan yang dikehendaki Islam.

Cara hidup Rasulullah SAW dan para sahabat Ridwanullahi Alaihim dengan penumpuan beribadat, hidup zuhud, hidup secara kasar (taqasysyuf), mujahadah al-nafs, berjihad pada jalan Allah, semuanya itu merupakan benih pertama kehidupan rohaniah Islamiah. Kemudian benih ini tumbuh dan berkembang subur melahirkan sistem rohaniah yang mempunyai kaedah-kaedah dan cara-cara yang tertentu, menjadi amalan para tabi’in dan amalan umat Islam yang kemudiannya. Mereka mengambil berat menjalankan urusan agama, tidak lalai dan tidak terpengaruh dengan kehidupan dunia yang sementara ini.

Sirah Rasulullah SAW sebelum baginda dibangkitkan menjadi Rasul sebagaimana yang telah dijelaskan dalam bahagian yang lepas, baginda berhari-hari bersendirian di Gua Hira, merenung memikirkan tentang keindahan alam, tentang keadaan masyarakat, tentang kekuasaan dan keagungan Maha Pencipta, mencari ketenangan dan keheningan jiwa, semuanya ini merupakan jalan rohaniah, jalan menyuci jiwa daripada kekotoran dan gangguan keduniaan untuk menuju insan kamil.

Untuk mencapai ketinggian dan kemurniaan rohaniah itu, seseorang itu memerlukan disiplin diri yang kuat, menjalani riadah dan mujahadah, melaksanakan amalan-amalan syariat dengan penuh kesedaran sehingga akhirnya terbentuklah kehidupan rohaniah yang murni, bersih daripada gangguan-gangguan hawa nafsu, rasa tamakkan dunia, tidak berasa takut dan ragu dalam menjalani hidup di dunia ini.

Berjuang meningkatkan ketinggian rohaniah dengan membersihkan jiwa daripada daki-daki dunia merupakan satu usaha dan ikhtiar untuk membaiki diri setakat yang mampu oleh manusia. Tujuannya supaya benar-benar menjadi abid, seorang insan yang beruntung, yang mencapai kejayaan hakiki menurut penilaian Islam, beruntung dan berjaya di dunia dan akhirat.

Dalam kehidupan dunia ini, biasanya manusia kalah kepada hawa nafsu apabila berhadapan dengan kebendaan dan pangkat kebesaran dan tawaran-tawaran kesenangan walaupun kadang-kadang jalan-jalan memperolehinya itu tidak bersih dan salah. Apabila seseorang itu kalah dalam menghadapi gejala-gejala tersebut, nilai dirinya telah jatuh ke tahap yang paling rendah, ia tidak lagi mempunyai harga diri dan terlalu hina pada pandangan Allah Taala.

Biasanya pengaruh kebendaan inilah yang memutuskan hubungan hamba dengan Tuhannya. Ia merupakan penghalang bagi seseorang daripada mencapai kebersihan kerohaniaan, menjadikan manusia leka dalam hidup ini dan akhirnya terjerumus dalam kesesatan, kegelapan dan kehinaan.



M. Syaiful Anam
Adv 1
Share this article :

Posting Komentar

 
Musholla RAPI, Gg. Merah Putih (Sebelah utara Taman Budaya Kudus eks. Kawedanan Cendono) Jl. Raya Kudus Colo Km. 5 Bae Krajan, Bae, Kudus, Jawa Tengah, Indonesia. Copyright © 2011. Musholla RAPI Online adalah portal dakwah Musholla RAPI yang mengkopi paste ilmu dari para ulama dan sahabat berkompeten
Dikelola oleh Remaja Musholla RAPI | Email mushollarapi@gmail.com | Powered by Blogger