Memang amat tersentuh dan mengalir air mata ketika melihat jenazah adik-adik
kecil yang dipanggil Pemiliknya. Mereka dikebumikan serentak dalam satu lahad.
Takziah kepada keluarga mangsa semoga tabah menghadapi ujian kehilangan yang
tersayang. Al-Imam Qurtubi pernah merakamkan hadis nabi yang bermaksud, mati
mengejut bagi orang yang baik adalah nikmat manakala mati mengejut bagi yang
zalim dan jahat adalah azab.
Memang sedih apabila de ngar berita kematian, tapi bagi yang tahu kategori
kematian, ada anugerah di sebalik itu iaitu mati syahid.
Bagi keluarga yang sedang bersedih dengan tragedi terbabit, sedikit hiburan
dari tulisan kali ini.
Ini kerana di sana ada satu senarai pakej kematian yang sangat mulia iaitu
husnul khatimah atau mati syahid terutama di senarai yang ke lapan dan
kesembilan dalam tulisan ini.
Pertama: Mereka yang dapat mengucapkan syahadah menjelang kematian
sebagaimana ditunjukkan dalam banyak hadis sahih, antaranya Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “(Barang siapa yang ucapan terakhirnya Laa ilaaha
illallah maka dia masuk syurga).” (Hadis Hasan)
Kedua: Kematian yang disertai dengan basahnya kening dengan keringat atau
peluh berdasarkan hadis Buraidah bin Hushaib RA: Dari Buraidah bin Khusaib RA
(bahawa ketika dia berada di Khurasan sedang membesuk seorang sahabatnya yang
sakit dia mendapatinya sudah meninggal tiba-tiba keningnya berkeringat maka dia
berkata: Allahu Akbar, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
(Kematian seorang mukmin disertai keringat di keningnya). (Hadis Sahih)
Ketiga: Mereka yang (baik-baik dan soleh) meninggal dunia pada malam Jumaat
atau siangnya berdasarkan sabda Rasulullah SAW (tidaklah seorang Muslim yang
meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat melainkan Allah melindunginya
daripada seksa kubur).
Keempat: Meninggal dalam keadaan syahid di medan perang sebagaimana ertinya:
(Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh di
jalan Allah mati, tetapi mereka hidup diberi rezeki di sisi Tuhan mereka.
Mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka dan memberi
khabar gembira kepada orang yang belum mengikuti mereka di belakang janganlah
mereka takut dan sedih. Mereka memberi khabar gembira dengan kenikmatan dari
Allah dan kurnia-Nya dan bahawa Allah tidak mensia-siakan balasan bagi
orang-orang beriman). (Surah Ali Imran ayat 169-171)
Rasulullah SAW bersabda: “(Orang yang syahid mendapat kan enam perkara: Diampuni
dosanya sejak titisan darahnya yang pertama, diperlihatkan tempatnya dalam
syurga, dijauhkan dari seksa kubur, diberi keamanan dari goncangan yang dahsyat
di hari kiamat, dipakaikan mahkota keimanan, dinikahkan dengan bidadari syurga,
diizinkan memberi syafaat bagi tujuh puluh anggota keluarganya.”
Kelima: Mereka yang meninggal ketika berjuang di jalan Allah (bukan
terbunuh) berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “(Apa yang kalian nilai sebagai
syahid antara kalian? Mereka berkata: Ya Rasulullah siapa yang terbunuh di
jalan Allah maka dia syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya syuhada’ umatku
sedikit ). Mereka berkata: Lalu siapa mereka Ya Rasulullah?
Baginda berkata: (Barang siapa yang terbunuh di jalan Allah syahid, barang
siapa yang mati di jalan Allah syahid, barang siapa yang mati kerana wabak taun
syahid, barang siapa yang mati kerana penyakit perut syahid dan orang yang
tenggelam syahid).”
Keenam: Mati kerana satu wabak penyakit taun berdasarkan beberapa hadis
antaranya: Rasulullah SAW bersabda: (Wabak taun adalah kesyahidan bagi setiap
Muslim).
Ketujuh: Mereka yang mati kerana penyakit dalam perut berdasarkan hadis di
atas.
Kedelapan dan kesembilan: Mereka yang mati kerana tenggelam dan terkena
runtuhan berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: (Syuhada ada lima: yang
mati kerana wabak taun, kerana penyakit perut, yang tenggelam, yang terkena
runtuhan dan yang syahid di jalan Allah).
Kesepuluh: Mereka yang matinya seorang wanita dalam nifasnya disebabkan
melahirkan anaknya. Dari Ubadah bin Shamit RA bahawa Rasulullah SAW menjenguk
Abdullah bin Rawahah dan berkata: Beliau tidak berpindah dari tempat tidurnya
lalu berkata: Tahukah kamu siapa syuhada’ dari umatku? Mereka berkata:
Terbunuhnya seorang Muslim adalah syahid. Beliau berkata: (Jadi sesungguhnya
para syuhada’ umatku, terbunuhnya seorang Muslim syahid, mati kerana wabak taun
syahid, wanita yang mati kerana janinnya syahid (ditarik oleh anaknya dengan
tali arinya ke syurga).
Kesebelas dan kedua belas: Mereka yang mati kerana terbakar dan sakit
bengkak panas yang menimpa selaput dada di tulang rusuk. Ada beberapa hadis
yang terkait yang paling masyhur: Dari Jabir bin ‘Atik dengan sanad marfu’:
(Syuhada’ ada tujuh selain terbunuh di jalan Allah: yang mati kerana wabak
tha’un syahid, yang tenggelam syahid, yang mati kerana sakit bengkak yang panas
pada selaput dada syahid, yang sakit perut syahid, yang mati terbakar syahid,
yang mati terkena runtuhan syahid, dan wanita yang mati setelah melahirkan
syahid).
Ketiga belas: Mereka yang mati kerana sakit TB berdasarkan hadis: Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: (Terbunuh di jalan Allah syahid, wanita yang mati
kerana melahirkan syahid, orang yang terbakar syahid, orang yang tenggelam
syahid, dan yang mati kerana sakit TB syahid, yang mati kerana sakit perut
syahid). (Hadis Hasan)
Keempat belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan hartanya yang hendak
dirampas. Dalam hal itu ada beberapa hadis di antaranya: Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang terbunuh kerana hartanya (dalam
riwayat: barang siapa yang hartanya diambil tidak dengan alasan yang benar lalu
dia mempertahankannya dan terbunuh) maka dia syahid).
Kelima belas dan keenam belas: Mereka yang mati kerana mempertahankan agama
dan dirinya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang
terbunuh kerana hartanya syahid, barang siapa yang terbunuh kerana keluarganya
syahid, barang siapa yang terbunuh kerana agamanya syahid, barang siapa yang
terbunuh kerana darahnya syahid).
Ketujuh belas: Mereka yang mati dalam keadaan ribath (berjaga di perbatasan) di jalan Allah. Ada dua hadis dalam hal itu salah satunya: Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: (Ribath sehari semalam lebih baik dari berpuasa dan
qiyamul lail selama sebulan, dan jika mati maka akan dijalankan untuknya amalan
yang biasa dikerjakannya, akan dijalankan rezekinya dan di amankan dari
fitnah).
Kelapan belas: Mati ketika melakukan amal soleh berdasarkan hadis Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: (Barang siapa yang mengucapkan: Laa ilaaha
illallah mengharapkan wajah Allah lalu wafat setelah mengucapkannya maka dia
masuk syurga, barang siapa berpuasa satu hari mengharapkan wajah Allah lalu
wafat ketika mengerjakannya maka dia masuk syurga, barang siapa yang bersedekah
dengan satu sedekah meng harapkan wajah Allah lalu wafat ketika mengerjakannya
maka dia masuk syurga).
Kesembilan belas: Mereka yang dibunuh oleh penguasa yang zalim kerana
memberi nasihat kepadanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: (Penghulu
para Syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutalib dan seseorang yang mendatangi
penguasa yang zalim lalu dia memerintahkan yang baik dan melarang dari yang
mungkar lalu dia dibunuh nya) Hadis dikeluarkan oleh Al-Hakim dan disahihkannya
dan Al Khatib.
Sama-samalah kita berdoa agar kita sama termasuk dalam kelompok di atas.
Amin Ya Rabbal ‘aalamin.
Ust. Zawawi
Posting Komentar