Kehidupan rohaniah menurut Islam bukan saja bertujuan menggilap hati sejernih mungkin, tetapi juga membawa manusia kepada keinsafan diri, mengenali diri sendiri dan mengenali akan alam sarwajagat yang tersusun indah, rapi dan menakjubkan ini. Semakin tajam keprihatinan diri terhadap alam ini, semakin jauh jangkauan mata hati, perasaan hati dan pandangan hidup meneroka alam metafizik yang penuh rahsia, penuh misteri ini.
Ayat-ayat Al-Quran begitu banyak menganjurkan manusia supaya merenung berfikir dan menyelidik terhadap alam semesta ini. Bagi orang yang berfikir, orang yang bermata hati, semua penjuru alam ini menimbulkan kesedaran bahawa di sebalik alam nyata yang indah dan terbentang luas wujud satu kuasa Yang Maha Agung, Maha Sempurna, Dialah Al-Khaliq. Apabila kesedaran ini telah bertakhta di hati, perasaan diri akan lebih tertumpu ke arah Yang Maha Agung itu sehingga timbul perasaan rindu, perasaan ingin mengenali dan mendampingi-Nya. Justeru itu, mulailah ia berusaha mencari jalan untuk makrifatullah dengan sebenar-benarnya. Sesudah dapat mencapai makrifatullah, keimanan akan bertambah kukuh, keyakinan terhadap kebesaran dan kekuasaan-Nya semakin kuat dan rasa tauhid bertambah mendalam, tiada lagi ragu-ragu, itulah tauhid ahlullah. Terangkat hijab dan terserlah baginya berbagai-bagai rahsia alam ghaib.
Apabila seseorang itu telah mencapai tahap kerohaniaan yang tinggi, mengenali hakikat hidup yang sebenar, keduniaan ini tidak lagi menjadi tumpuan hidup yang utama. Nilai kebendaan dan kebesaran pangkat pula tidak lagi menjadi tumpuan hidup dan tidak lagi menduduki tempat yang teratas dalam pandangannya. Dia sudah mempunyai pegangan dan pandangan hidup yang tersendiri. Dia sedar hidup di dunia ini hanya sementara sahaja. Dia yakin, di sebalik hidup di dunia ini ada lagi hidup yang lebih tinggi dan lebih bererti, hidup kekal abadi, hidup di dalam rahmat Allah bagi mereka yang telah menyuci jiwanya. Sebaliknya pula, hidup dalam kesengsaraan yang amat parah bagi mereka yang hanya bergelumang dengan keduniaan.
Setelah mengenali yang hak dan yang batil, ia beriltizam di atas yang hak. Kaya atau miskin, senang atau susah, mulia ataupun hina, tinggi ataupun rendah, istana atau pun teratak, semuanya tidak penting dalam hidupnya. Yang penting ialah menghabiskan sia-sia hidup sementara ini dalam kebenaran. Kalau Allah memberi kesenangan, kemewahan, kekayaan, ia bersyukur, dan ia membelanjakannya untuk jalan agama Allah. Jika sebaliknya, ia juga bersyukur dan bersabar. Ia terus berusaha dan bersabar beristiqamah dalam keredaan Allah walaupun terpaksa menempuh ujian dan kesusahan.
Dengan pandangan ini, ia terus bertekun meningkatkan ta’abbudnya kepada Allah, menjadi seorang abid yang bersikap warak, zuhud, taqasysyuf, bertawakal dan reda. Inilah sikap hidup yang dipelopori baginda Rasulullah SAW, dicontohi para sahabat, menjadi ikutan generasi Muslim yang kemudian. Inilah juga cara hidup para nabi yang terdahulu, para wali, orang-orang salihin, dan orang-orang sufi.
Kehidupan rohaniah sebagaimana yang tersebut di atas adalah tuntutan syariat Allah, bukannya rekaan manusia. Ia adalah intisari bagi agama Samawi, telah dipraktikkan para nabi dan abid yang telah sempurna kemuncak keagungannya dalam agama Islam, bertitik tolak daripada ajaran al-Quran dan as-Sunnah.
Kehidupan rohaniah Islamiah sebagaimana yang telah digambarkan di atas itu terus berkembang di kalangan generasi Islam peringkat permulaan itu dengan keadaan bersih dan murni. Tetapi setelah Islam berkembang luas, penganut bertambah ramai terdiri daripada pelbagai bangsa yang selama ini telah mempunyai kepercayaan, amalan, adat istiadat, kebudayaan dan cara hidup yang tersendiri, mulailah kehidupan itu bercampur dengan pelbagai unsur. Ada yang bersifat falsafah, kebudayaan, kepercayaan dan sebagainya. Unsur-unsur itu telah memberi kesan dan pengaruh yang besar kepada kehidupan orang-orang Islam. Antara unsur itu ada yang sesuai dengan Islam dan ada pula yang menyeleweng.
Oleh yang demikian apabila hendak melibatkan diri dalam kehidupan rohaniah, kita kenalah berhati-hati memilih guru atau syeikh mursyid yang muktabar agar kita tidak terjerumus dalam ajaran sesat yang bertopengkan ilmu tasawuf. Perlu diingat sejak zaman-zaman kebelakangan ini, terdapat banyak ajaran sesat berkembang di dalam masyarakat kita yang dibawa oleh orang-orang jahil yang mendakwa diri mereka sebagai ahli tasawuf padahal mereka bukan ahli tasawuf.
M. Syaiful Anam
Posting Komentar