Suatu ketika tatkala Rasulullah SAW sedang bersiap di medan perang
Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang lelaki yang bernama
Amar bin Thabit telah datang menemui Baginda SAW. Dia rupanya ingin masuk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah SAW
Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu sudah Islam
setelah tokoh yang terkenal Saad bin Muaz memeluk Islam.
Tetapi Amar ini enggan mengikut kaumnya
yang ramai itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia
orang baik dalam pergaulan. Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, ia menjawab,
"Kalau aku tahu kebenaran yang aku kemukakan itu sudah pasti aku tidak
akan mengikutnya." Demikian angkuhnya Amar.
Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui
bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia
terasing sendirian, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang
terang benderang. Kini dalam saat orang bersiap-siap akan maju ke medan perang,
dia segera menemui Rasulullah SAW , menyatakan dirinya akan masuk Islam malah
akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Rasulullah SAW .
Pedangnya yang tajam ikut dibawanya.
Rasulullah SAW menyambut kedatangan Amar
dengan sangat gembira, tambah pula rela akan maju bersama Nabi Muhammad SAW.
Tetapi orang ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing
sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai
mengetahui keIslamannya. Bagaimana Amar maju sebagai mujahid di medan
peperangan.
Dalam perang Uhud yang hebat itu Amar
memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh
mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai saatnya
dia jatuh pengsan. "Untuk apa ikut ke mari ya Amar?" Demikian tanya
orang yang hairan melihatnya, sebab sangka mereka dia masih musyrik. Mereka
kira Amar ini masih belum Islam lalau mengikut sahaja pada orang ramai.
Dalam keadaan antara hidup dan mati itu
Amar lalu berkata, "Aku sudah beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, lalu
aku siapkan pedangku dan maju ke medan perang. Allah SWT akan memberikan
syahidah padaku dalam waktu yang tidak lama lagi." Amar meninggal. Rohnya
mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan syahid.
Waktu hal ini diketahui Rasulullah SAW ,
maka Baginda SAW pun bersabda,: "Amar itu nanti akan berada dalam syurga
nantinya." Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar dengan penuh
takjub, sebab di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a sahabat yang banyak
mengetahui hadith Rasulullah SAW berkata kaum Muslimin, "Cuba kamu
kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah bersyarat
sekalipun juga terhadap Allah SWT." "Jika kamu tidak tahu
orangnya." Kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu ia pun menyambung, ujarnya,
"Maka baiklah aku beritahukan, itulah dia Amar bin Thabit."
Demikianlah kisah seorang yang ajaib, masuk
syurga demikian indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti
para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat
persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia menemui
Rasulullah SAW. Ia menjadi Muslim, lalu maju ke medan perang, sebagai mujahid
yang berani. Akhirnya tewas dia dengan mendapat syahadah iaitu pengakuan
sebagai orang yang syahid. Mati membela agama Allah SWT di medan perang. Maka
syurgalah tempat bagi orang yang memiliki julukan syahid. Rasulullah SAW
menjamin syurga bagi orang seperti Amar ini.
1001 Kisah Teladan
Posting Komentar