Jl. Kudus Colo Km. 5, Belakang Taman Budaya Bae Krajan, Kudus
Home » » Pandangan Islam Terhadap Suami Isteri Yang Bekerja (1)

Pandangan Islam Terhadap Suami Isteri Yang Bekerja (1)

“Dan katakanlah (wahai Muhamad) ! Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat akan apa yang kamu kerjakan”. (al-Quran: Attaubah 105)

Oleh itu semua kita wajib bekerja, temasuk suami / isteri, untuk mencapai kebahagiaan hidup kita di dunia dan juga di akhirat. Hak dan kewajiban Suami adalah untuk melindungi isteri dan anak-anaknya, menyediakan segala keperluan hidup mereka seperti rumah tempat tinggal, memberikan nafkah perbelanjaaan, mendidik dan membimbing anak isteri ke jalan yang diredhai Allah. Hak dan kewajiban isteri pula, termasuklah mentaati suami, mengurus rumahtangga, mendidik anak ke jalan yang diredhai Allah, melayan suami, dan sebagainya.

Semua kerja yang dilakukan jika sekiranya diniatkan kerana mematuhi dan mengharapkan keredhaan Allah, maka jadilah ia amal soleh. Semua amal perbuatan yang kita lakukan kerana mematuhi perintah Allah adalah ibadah.

Allah berfirman, “Sesiapa yang beramal soleh sama ada lelaki atau perempuan sedangkan ia beriman maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan “. (al-Quran: Annahl 97)

Di zaman serba canggih sekarang ini, ramai isteri terpaksa bekerja atas berbagai sebab. Ada yang bekerja disebabkan untuk menanggung mak ataupun adik beradik yang masih kecil. Ada pula kerana ditinggalkan suami yang tercinta (meninggal dunia), bercerai, suami sakit dan sebagainya.

Meskipun demikian, jika kedua-dua suami isteri bekerja dan dapat menunaikan tugas masing-masing dengan baik, dan mematuhi perintah Allah dan RasulNya, dapat mencipta rumah tangga bahagia, dalam keadaan tenang dan tenteram, dan dalam hati kedua-duanya terpatri rasa cinta dan kasih sayang, saling hormat menghormati, sehingga melahirkan zuriat yang berguna untuk agama, bangsa dan negara, maka pekerjaan mereka telah mendapat barokah dan diredhai oleh Allah SWT, apa yang mereka kerjakan itu jika diniatkan kerana Allah menjadilah pekerjaan itu sebahagian daripada ibadah.

Sejak awal pagi lagi selalunya suami isteri yang berkerja akan ke pejabat. Mereka pulang setelah petang, malah ada yang sampai di rumah setelah malam hari kerana kesesakan ataupun halangan lain di jalan raya. Penjagaan anak-anak pula diserahkan sepenuhnya kepada pembantu, ataupun diserahkan ke Taska ataupun Tadika.

Suami isteri tiba di rumah dalam keadaan penat, menyebabkan anak-anak kurang mendapat kasih sayang, suami tidak mendapat layanan, kesihatan isteri selalu terganggu dan pertengkaran suami isteri menjadi lumrah. Keadaan ini bertambah parah jika berlaku pendurhakaan anak-anak terhadap orang tua. Jika keadaan ini berlanjutan, ini menunjukkan kita tidak dapat mengendali hidup dengan baik. Lebih teruk lagi boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga. Jadi, bahagia yang dikejar semakin jauh dari kenyataan, walaupun kemewahan wang ringgit sudah tercapai.

Kita jangan lupa bahawa tujuan perkawinan ialah untuk mencipta suasana aman tenteram dan kasih sayang suami isteri . Allah berfirman, “Dan diantara tanda yang membuktikan Kekuasaan dan RahmatNya, bahawa la menciptakan jodoh dari dirimu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan cinta dan kasih sayang.” (al-Quran: Arrum: 21)

Oleh karena itu, kehidupan yang mesra dengan diliputi perasaan cinta dan kasih perlu terus dijaga meskipun kedua suami isteri bekerja, kerana suasana seperti ini akan menjadi contoh teladan bagi anak-anak kita. Supaya mereka tidak mengulangi kembali penderitaan yang telah dialami kedua orang tua mereka dalam kehidupan mereka.

Kehidupan mesra yang penuh dengan kasih sayang boleh dicapai jika suami-isteri saling berkerjasama, saling tolong menolong, dengan perasaan kasih sayang. Sediakan masa yang secukupnya untuk keluarga dengan pergi berkelah misalnya. Sentiasa berbincang dan mengatasi segala kesulitan yang timbul secara bersama. Jika hal ini boleh kita ujudkan insya Allah rumah tangga bahagia dapat dipertahankan.


Ust. Syed Hasan Alatas (Malaysia)
Adv 1
Share this article :

Posting Komentar

 
Musholla RAPI, Gg. Merah Putih (Sebelah utara Taman Budaya Kudus eks. Kawedanan Cendono) Jl. Raya Kudus Colo Km. 5 Bae Krajan, Bae, Kudus, Jawa Tengah, Indonesia. Copyright © 2011. Musholla RAPI Online adalah portal dakwah Musholla RAPI yang mengkopi paste ilmu dari para ulama dan sahabat berkompeten
Dikelola oleh Remaja Musholla RAPI | Email mushollarapi@gmail.com | Powered by Blogger